Friday 6 January 2012

Pembedahan ghaib ( Nabi Muhammad)....


BUKANKAH Kami telah melapangkan bagimu, dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?. Dan Kami telah meringankan daripadamu bebanmu (menyiarkan Islam). (al-Insyirah: 1-2)

KETIKA berusia tiga tahun, Muhammad dan saudara susuannya telah ditugaskan untuk menggembala kambing. Mereka akan bermain-main sambil memerhatikan binatang ternakan mereka meragut rumput.

Pada suatu hari, saudara susuan Muhammad berlari pulang ke rumah. Wajahnya pucat dan dia menangis.

“Muhammad telah dibunuh,” teriak anak itu sambil mendapatkan ibunya, Halimah.

“Apa yang kau katakan ini?” soal Halimah. Hatinya mula bimbang.

“Ada dua orang lelaki yang memakai baju putih telah datang. Dia menelentangkan Muhammad dan membedah dadanya,” cerita anak itu lagi.

Halimah terperanjat mendengar cerita anaknya itu. Tanpa berlengah lagi, Halimah berlari ke padang rumput untuk mencari Muhammad. Suami dan anak Halimah mengekorinya. Akhirnya mereka menemui Muhammad terduduk di atas rumput. Mukanya pucat dan matanya terbuka luas.

Halimah menerpa ke arah Muhammad. Dia memeluk dan mencium wajah Muhammad berkali-kali. Tubuh anak susuannya itu diperhati dengan teliti. Halimah bersyukur kelegaan apabila melihat Muhammad tidak apa-apa.

“Apa yang telah terjadi, wahai anakku?” soal suami Halimah apabila dilihatnya Muhammad telah beransur pulih.

“Sewaktu saya sedang memerhatikan binatang ternakan kita ini meragut rumput, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang berpakaian putih.

“Saya sangkakan mereka itu dua ekor burung yang besar. Tapi ternyata tekaan saya salah,” cerita Muhammad yang masih berada dalam pelukan Halimah.

“Kau kenalkah mereka?” soal Halimah.

“Tidak, saya tidak kenal. Mereka merapati saya. Salah seorang bertanya kepada yang seorang lelaki, “Adakah ini anaknya?” Kawannya menjawab, “Benar”. Kemudian mereka merebahkan tubuh saya dan mereka membelah dada saya. Saya langsung tidak berasa sakit,” cerita Muhammad.

“Berdarahkah? Di mana dibelah? Sakitkah?” soal Halimah bertalu-talu.

“Di sini,” kata Muhammad, sambil menunjuk ke dada kirinya. “Mereka mengambil sesuatu sambil berkata: “Inilah bahagian yang syaitan suka.” Mereka lalu mencuci dada saya dengan air yang sejuk. Kemudian, mereka terus ghaib,” cerita Muhammad.

Halimah takjub mendengar kata-kata Muhammad. Dia tahu anak itu tidak pernah berbohong. Halimah tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik keajaiban itu. Mungkin Muhammad akan menjadi kebanggaan dan sanjungan umat manusia kelak.

Halimah menyuarakan kerisauan hatinya kepada suaminya. Mereka berbincang tentang perkara itu.

Walaupun berat rasa Halimah untuk berpisah dengan Muhammad, namun mereka terpaksa menghantar Muhammad kembali ke rumah Aminah. Mereka takut kalau Muhammad dicederakan nanti.


Nabi Ismail dan Telaga Zam-Zam...

WAHAI Tuhanku! Aku tinggalkan keturunanku di satu lembah yang tiada tumbuh-tumbuhan di sebelah Rumah-Mu (Kaabah). Jadikanlah mereka orang yang mendirikan solat dan semoga hati manusia cenderung kepada mereka, dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan agar mereka bersyukur. (Ibrahim: 37)

KISAH Nabi Ismail dan Telaga Zam-Zam bermula selepas peristiwa Nabi Ismail dan ibunya, Hajar ditinggalkan oleh ayahnya, Nabi Ibrahim di satu kawasan yang sangat gersang. Sungguhpun Nabi Ibrahim cukup sedih untuk meninggalkan dua beranak itu, namun baginda tetap melaksanakannya. Hajar pula berasa sangat cemas apabila mengetahui dirinya akan ditinggalkan bersama anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi sepi itu.

Dia lalu merintih dan menangis sambil menarik baji Nabi Ibrahim memohon simpatinya. Akan tetapi Nabi Ibrahim tetap meninggalkan mereka berdua dan menuju ke rumah isterinya yang pertama, Sarah di Palestin.

Sebelum meninggalkan mereka, Nabi Ibrahim sempat berdoa sebagaimana yang terkandung dalam surah Ibrahim ayat 37.

Wahai Tuhanku! Aku tinggalkan keturunanku di satu lembah yang tiada tumbuh-tumbuhan di sebelah Rumah-Mu (Kaabah). Jadikanlah mereka orang yang mendirikan solat dan semoga hati manusia cenderung kepada mereka, dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan agar mereka bersyukur.

Baginda juga sempat berkata kepada Hajar yang sedang menangis kesedihan, “Bertawakallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya.

Percayalah kepada kekuatan dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintahkan aku untuk membawamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sekiranya bukan kerana perintah dan wahyu-Nya, tidak sekali-kali aku tergamak meninggalkan engkau di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini.

“Percayalah wahai Hajar bahawa Allah yang Maha Kuasa tidak akan membiarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya. Insya-Allah.”

Mendengarkan kata-kata itu, Hajar segera melepaskan genggamannya dan membiarkan Nabi Ibrahim pergi. Sepeninggalan Nabi Ibrahim, Hajar menjalankan segala amanat Nabi Ibrahim dengan tabah dan sabar.

Namun begitu, bekalan air yang dibawanya semakin berkurangan dan habis sedangkan anaknya menangis kehausan dan kelaparan. Hajar menjadi cemas dan panik mendengar tangisan Ismail yang menyayat hati. Lalu beliau berlari-lari anak menuju ke Bukit Safa, kalau-kalau terdapat sesuatu yang boleh dimakan atau diminum. Namun usaha itu tidak berhasil.

Kemudian dari Bukit Safa, Hajar terlihat bayangan air yang mengalir di atas Bukit Marwa. Lalu Hajar berlari pula ke tempat itu. Usahanya itu juga tidak berhasil kerana tiada air pun di tempat tersebut. Hajar kembali ke Bukit Safa kemudian ke Bukit Marwa semula. Beliau berulang alik dari Bukit Safa dan Bukit Marwa sebanyak tujuh kali kerana tidak tahan melihat anaknya kehausan.

Akhirnya Hajar berdoa kepada Allah agar merahmati anaknya. Doanya dikabulkan oleh Allah. Ketika Ismail menghentak-hentak kakinya ke tanah, tiba-tiba terpancut air dari dalam tanah, tepat di bawah kakinya. Hajar sangat gembira lalu diambil air tersebut dan disuapkan ke mulut Ismail.

Itulah air zam-zam yang dianggap keramat hingga sekarang. Setiap jemaah haji yang berkunjung ke Mekah tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan air suci itu. Air zam-zam itu tidak pernah kering hingga ke hari ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

must read..terbaik..!